Friday 24 February 2012

Kematian Pasti Akan Tiba

Assalamualaikum....




Manusia yang tenggelam dalam kemewahan dunia, dikuasai oleh hawa nafsu dan hidup dibelenggu dengan perbuatan maksiat amat sikit bahkan mungkin juga sama sekali tidak mengingati bahawa malaikat maut pasti akan datang membawa perintah Allah S.W.T untuk meragut nyawanya. 


Ketahuilah bahawa kematian pasti akan tiba terhadap seluruh umat manusia tanpa mengenal erti bangsa, kedudukan dalam masyarakat, kekayaan harta benda mahupun golongan yang dilihat gagah perkasa. Tiada sesiapa pun yang boleh melarikan diri dari menghadapi maut. Apabila telah ditetapkan waktu kematian bagi seseorang maka ianya tidak akan tertunda atau dipercepatkan walaupun sesaat.



Firman Allah S.W.T.: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. – Aali ‘Imraan (3) : 185 

Firman Allah S.W.T.: Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya) ". - Al-Jumu’ah (62) : 8


"Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)". – Nuh (71) : 4



Menyedari bahawa mengingati kematian ini dapat membawa nilai-nilai yang positif terhadap setiap insan maka terdapat banyak dalil yang menganjurkan manusia agar selalu ingat bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Perbanyakkanlah mengingat pemutus kenikmatan iaitu kematian – Hadis riwayat Imam Ibnu Majah, no: 4248



…maka berziarah kuburlah kamu, kerana hal itu mengingatkan kita kepada kematian. - Hadis riwayat Imam Muslim, hadis no: 976.





p/s: Selagi aku ada kesempatan, setiap hari Jumaat aku akan menziarah kubur Abeja...

No comments:

Post a Comment